Friday, November 26, 2010

Volume Of Liquid



Maksud Isipadu Cecair
Isipadu cecair merujuk kepada kapasiti cecair dalam sesuatu bekas. Kapasiti atau muatan boleh diukur dengan menggunakan 'non standard units' atau unit bukan piawai (lebih atau kurang) dan 'standard units' atau pun dikenali sebagai unit piawai dalam milimeter (ml) dan liter (l) dalam sistem metrik.


Tayangan Video (Kemahiran Menyukat Isipadu Cecair)




Alat Bantu Mengajar
Terdapat 2 alat bantu mengajar yang dihasilkan khas untuk murid berpencapaian tinggi (high achiever) dan murid berpencapaian rendah (low achiever). Alat bantu ini bersesuaian dengan kemahiran dan aktiviti di dalam isi padu dan cecair.

Alat bantu mengajar: 'Upin Menjejaki Ipin' untuk murid pencapaian tinggi


Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Untuk Pencapaian Tinggi

Mata pelajaran     : Matematik
Kelas                   : Tahun 2 UKM
Topik                  : Isipadu Cecair
Kemahiran           : Menyukat isipadu cecair menggunakan
                             a) Unit bukan standard

Hasil Pembelajaran:
Di akhir pembelajaran, murid boleh menyukat dan membandingkan isipadu cecair dengan perbandingan secara langsung menggunakan unit standard dengan betul.

Alat Bantu Mengajar:
Carta 'Upin Menjejaki Ipin', gelas, jag, botol susu, baldi, cerek, botol, air, kad bergambar (jag, botol susu, baldi, cerek dan botol) dan lembaran jadual.

Langkah-langkah Aktiviti:

1. Dengan menggunakan kad bergambar dan bahan maujud bekas-bekas yang boleh diisi air (jag, botol susu, baldi, cerek dan botol), guru meminta murid menamakan bekas-bekas berkenaan dan sebab mengapa bekas berkenaan berbeza bentuk. 

Bekas pelbagai bentuk yang berisi air

2. Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu Biru, Merah Jambu, Kuning dan Oren. Tujuan pembahagian kumpulan adalah untuk mewujudkan pembelajaran koperatif.

3. Setiap kumpulan dibekalkan dengan satu set bekas (jag, botol susu, baldi, cerek dan botol) yang berisi air.

4. Lantik seorang pencatat di dalam setiap kumpulan.

5.Wakil setiap kumpulan dikehendaki mengambil sekeping kad bergambar di dalam sampul surat berwarna (mengikut warna kumpulan) pada carta 'UPIN'.

Carta 'UPIN' dan kad bergambar

6. Setiap kumpulan mengambil bekas seperti di dalam gambar dan menyukat air di dalam bekas tersebut dengan menggunakan gelas.

Gelas sebagai penyukat bukan standard

7. Murid mengira jumlah gelas yang berisi air serta mencatatnya di dalam lembaran jadual dan di belakang kad bergambar.


Jawapan perlu dicatat di belakang kad bergambar dan lembaran jadual


8. Gambar yang telah diisi dengan jawapan dimasukkan ke dalam sampul bertulis U,P,I,N atau I,P,I,N pada carta 'IPIN'.


9. Ulangi langkah 5, 6, 7 dan 8 sehingga tamat.

10. Kumpulan yang berjaya mengisi semua jawapan pada carta 'IPIN' dengan cepat dan tepat dikira sebagai pemenang di dalam membantu 'UPIN' menjejaki 'IPIN'.

11. Berdasarkan jadual yang diisi, murid diminta membuat perbandingan di antara bekas yang menampung air paling banyak dan bekas yang menampung air yang paling sedikit.

12. Guru meminta murid menyusun bekas secara menaik iaitu dari bekas yang menampung air paling sedikit ke bekas yang menampung air paling banyak.

13. Guru membuat rumusan, semakin besar bekas yang digunakan, maka semakin banyaklah air yang boleh ditampung dan bilangan gelas yang digunakan bagi menyukat air juga bertambah.


** Bagi unit standard, aktiviti yang sama boleh dijalankan dengan menggunakan jag penyukat yang mempunyai unit standard iaitu liter (l).

Jag penyukat (unit standard)

** Murid diperkenalkan dengan konsep dan istilah 'kurang daripada' dan 'lebih daripada'.



Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Untuk Pencapaian Rendah

Mata pelajaran     : Matematik
Kelas                   : Tahun 2 UKM
Topik                  : Isipadu Cecair
Kemahiran           : Menyukat isipadu cecair menggunakan unit bukan piawai

Hasil Pembelajaran:
Di akhir pembelajaran, murid boleh menyukat dan membandingkan isipadu cecair dengan perbandingan secara langsung menggunakan unit bukan standard dengan betul.

Alat Bantu Mengajar:
Penggantungan Ajaib, carta, gelas, jag, botol susu, baldi, cerek, botol, air, kad bergambar (jag, botol susu, baldi, cerek dan botol) dan lembaran jadual.


Langkah-langkah Aktiviti:


1. Dengan menggunakan kad bergambar dan bahan maujud bekas-bekas yang boleh diisi air (jag, botol susu, baldi, cerek dan botol), guru meminta murid menamakan bekas-bekas berkenaan dan sebab mengapa bekas berkenaan berbeza bentuk. 

Bekas pelbagai bentuk yang berisi air

2. Murid dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu kumpulan Biru, Kuning dan Oren. Tujuan pembahagian kumpulan adalah untuk mewujudkan pembelajaran koperatif.


'Penggantung Ajaib' digantung mengikut kumpulan

3. Setiap kumpulan dibekalkan dengan satu set bekas (jag, botol susu, baldi, cerek dan botol)

4. Wakil setiap kumpulan dikehendaki mengambil 'sehelai baju' dan melihat gambar bekas yang terdapat di dalamnya.


Gambar yang terdapat di dalam 'baju'

5. Setiap kumpulan mengambil bekas seperti di dalam gambar dan menyukat air di dalam bekas tersebut dengan menggunakan gelas.

6. Murid bersama-sama mengira jumlah gelas yang berisi air dan mencari kad jawapan yang sama dengan jumlah gelas.


Kad jawapan

7. Murid membawa gambar dan jawapan untuk dilekatkan pada carta.


Carta jawapan


8. Ulangi langkah 4, 5, 6 dan 7 secara bergilir-gilir sehingga tamat.

9. Kumpulan yang berjaya melekatkan semua gambar dan jawapan pada carta dengan cepat dan tepat dikira sebagai pemenang.

10. Guru meminta murid menyusun bekas secara menaik iaitu dari bekas yang menampung air paling sedikit ke bekas yang menampung air paling banyak.

11. Guru membuat rumusan, semakin besar bekas yang digunakan, maka semakin banyaklah air yang boleh ditampung dan bilangan gelas yang digunakan bagi menyukat air juga bertambah.